Kreativiti mengujakan
Assalamualaikum / Peace be upon you...
Kaedah mudah mengembangkan
kreativiti kanak-kanak.
Setiap hari semasa P&P PSV, aku melihat betapa kreatifnya anak-anak muridku berkarya. Aku sendiri terpanggil untuk menjadi lebih kreatif. Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap kreativiti aku.
Apa itu kreativiti? Boleh rujuk
sini.
Sebenarnya, mencungkil serta mengembangkan daya kreativiti kanak-kanak juga memerlukan kreativiti.
It needs creativity to be creative.
Seronok dan teruja melayan kanak-kanak berebut-berebut datang padaku untuk menunjukkan dan menceritakan tentang hasil karya mereka. Aku biasanya memberikan mereka galakan dan sokongan (confidence) yang positif bagi memastikan mereka terus kreatif. Perasaan bangga serta teruja bila berjaya menghasilkan sesuatu yang kreatif membuatkan mereka makin galak berkarya. Sesuatu yang sangat aku kagumi.
Walaupun aku baru sahaja 2 bulan mengajar di sekolah rendah, aku amat terpegun dengan tahap kreativiti murid-murid di tahun 3,4 dan 5. Mereka sangat kritis dengan keupayaan dan kreativiti mereka.
Dalam era ini, kebanyakan manusia mengharap dan menerima hanya yang terbaik. Ini memberi impak secara tidak langsung kepada kanak-kanak. Ada di antara kanak-kanak yang menyerah kalah atau mengalah sebelum sesuatu karya kreatif dibuat atau dihasilkan. Silap kita juga bila menganggap bahawa manusia, samada kanak-kanak atau dewasa, dilahirkan berbakat.
Kita terlupa atau sengaja tidak mahu menerima hakikat bahawa samada penyair, penulis, pelukis atau pelakon biasanya pernah melalui saat susah payah untuk menjadi seorang
sifu, adiguru atau pakar yang kreatif dalam bidang mereka. Semuanya tidak datang dengan mudah, perlu latihan dan usaha yang gigih, bukan sekadar bakat.
Kita juga terleka dengan kenyataan bahawa sejak zaman dahulu manusia menikmati sesuatu ciptaan produk itu kerana kegunaan produk itu sendiri bukan kerana ia dibandingkan dan dianggap yang terbaik.
Dalam beberapa situasi, agak sukar untuk kita menggalakkan kanak-kanak menjadi terbaik dan kreatif bila kita sendiri sedar tahap keupayaan kanak-kanak tersebut.
Kanak-kanak ini tidak perlu menunggu sehingga dewasa untuk sedar bahawa adakalanya kita memberi mereka pujian dan galakan yang kosong.
Adalah lebih baik jika kita memberi fokus dan ketengahkan sesuatu yang kita tahu mereka mahir atau cekap sambil memberi nasihat, galakan serta jalan untuk memperbaikinya. Ini bertepatan Teori Kecerdasan Pelbagai atau
Theory of Multiple Inteligences yang dipelopori oleh Howard Gardner.
Jika mereka gagal atau kecewa, bersimpatilah. Beritahu mereka bahawa semua orang melalui saat atau situasi sedemikian. Malah orang dewasa pun memerlukan masa dan latihan untuk membuat atau mencuba sesuatu yang baru.
Apa yang mendukacitakan kita ialah sikap segelintir manusia yang asyik memperlekehkan seseorang yang mendapat tempat kedua atau ketiga dalam sesuatu pertandingan.
Hanya tempat pertama dianggap sebagai satu kejayaan. Inilah yang menjadikan kanak-kanak berfikiran bahawa jika sesuatu projek atau karya itu disiapkan dengan cepat tanpa mengambil kira ketelitian dan kekemasan, itu dianggap satu kejayaan.
Bagi kebanyakan kanak-kanak, cepat dan pantas dianggap sebagai ukuran kepada kejayaan. Inilah cabaran bagi kita dalam mengekalkan keterujaan kanak-kanak untuk mempelajari kemahiran kreatif yang baru.
Aku mulai sedar bahawa keseronokan melakukan aktiviti kreatif perlu ditekankan disamping menyedarkan mereka bahawa memperbaiki kemahiran kreatif dari masa ke semasa adalah proses sepanjang hayat.
Perkara ini perlu dijelaskan melalui projek atau karya yang dilakukan. Kita patut abaikan dulu kesempurnaan (perfectionism) dan menikmati proses kreatif bersama mereka. Aku rasa mereka akan lebih selesa mencuba sesuatu yang baru tanpa tekanan dan harapan yang menggunung.
Aku sebenarnya telah memberi mereka banyak peluang untuk menjadi kreatif dengan tidak mengambil kira sangat hasilan karya. Apa sangatlah yang diharapkan jika anak-anak ini baru mencuba kali pertama. Biarkan mereka hamburkan kreativiti mereka tanpa sedar. Kita perhati dan bantu.
Projek Origami dan Topeng serlahkan kreativiti
Origami dan membuat topeng muka adalah antara projek-projek yang menyeronokan. Projek ini merupakan aktiviti
process-oriented dan hands-on. Penuh dengan keriangan dan keterujaan, menjadikan mereka leka dan secara tidak langsung mengembangkan kemahiran serta bakat tanpa satu tekanan yang membebankan mereka.
Semasa menghasilkan karya-karya ini, aku bantu mereka dengan membiarkan semuanya secara
open-ended. Ruang dan peluang bagi mereka memberikan sentuhan kreatif. Galakan serta motivasi diberikan supaya proses kreatif terserlah. Di masa inilah aku lihat nilai imaginatif serta idea kanak-kanak terbentuk. Sangat mengujakan.
Tersedar aku akan peri pentingnya kanak-kanak diberi masa dan peluang untuk menggunakan kuasa imaginasi mereka yang biasanya kita salah anggap sebagai tidak produktif. Mereka perlukan masa untuk berangan-angan dan melakonkan pelbagai watak diluar imaginasi kita, orang dewasa. Dunia khayalan dan nyata berbaur. Segalanya menghiburkan. Kreativiti sebenarnya berkembang tanpa sedar semasa mereka menghiburkan diri mereka.
Aku juga turut terhibur dengan gelagat mereka. Kreativiti aku bertambah bersama mereka. Bagi aku, projek kreatif yang baik untuk kanak-kanak ialah projek yang kita turut merasa seronok dan terhibur bila membuatnya.
~Bo Bennett
Lintasan Hati:
Terima kasih buat teman yg sentiasa mendoakan yg terbaik setiap kali/hari bila nak masuk kelas dari awal dulu hingga kini dan sampai bila-bila...