Monday, November 8, 2010

Kreatif: Asuh...Luaskan... Minda Anak-anak

Assalamualaikum / Peace be upon you... 

Jika diperhatikan, perkembangan dan pembesaran kanak-kanak di peringkat bayi sehingga tahap sekolah rendah memerlukan pengasuhan yang sempurna dan teratur. Kita perlu sedar bahawa di ketika usia itulah, minda kanak-kanak perlu dirangsang dan dipupuk dengan pelbagai aktiviti yang boleh menjana perkembangan minda yang positif dan kreatif.
Kaedah dan teknik yang bersistematik perlu dirangka serta diaplikasikan dalam usaha melahirkan kumpulan generasi baru yang kreatif. Kanak-kanak  ini perlu dilatih untuk  menjadi berani dan yakin menonjolkan diri dalam mengetengahkan hasil kreativiti, terutamanya  karya seni, mengikut keupayaan minda serta kebebasan mereka berfikir.
Perasaan ingin tahu atau curiosity yang mendalam memang kita sedia maklum wujud dalam diri kanak-kanak di peringkat usia berkenaan. Justeru, galakan dan sokongan padu perlu diberi kepada mereka untuk menonjolkan bakat dan kreativiti masing-masing ditahap maksima.
Melalui P&P PSV yang terancang dan sistematik, akan jelas tergambar  bahawa majoriti kanak-kanak di Malaysia adalah terdiri daripada mereka yang kreatif, tetapi takut - takut untuk mencuba melakukannya. Dalam situasi sebegini, guru perlu memainkan peranan  yang besar serta positif dalam membentuk dan merangsang minda kreatif kanak-kanak  melalui aktiviti seni dan kraf yang dijalankan.
Selain dari itu, suasana persekitaran yang selesa dan conducive  serta penyediaan bahan yang sesuai berupaya menarik minat kanak-kanak seawal usia setahun  untuk terus meneroka dan mencuba sesuatu yang kreatif. Walau bagaimanapun, janganlah kita mengabaikan keselamatan persekitaran semasa berkarya kreatif.
Dalam kelas, kanak-kanak patut dilatih untuk merancang bagaimana menjalankan aktiviti seni dan kraf mengikut perkembangan mereka. Sebagai guru, kita perlu menyediakan aktiviti dan rancangan mengajar yang berkesan serta viable. Selain dari itu, kita juga wajar menyedia serta merancang sudut kraf  yang  menarik untuk kanak-kanak ini di bilik darjah atau bilik seni.
Dalam kita merangka, menggubal dan melaksanakan Transformasi Kurikulum yang akan dimulakan dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai Januari 2011, semua pihak menaruh harapan yang tinggi agar guru-guru dapat memanfaatkan segala pengisian bengkel serta kursus dengan mempraktikkan segala ilmu dan kemahiran seni kraf yang dipelajari dalam usaha merangsang minda kreatif kanak-kanak.
Semua pihak, termasuk pentadbir  sekolah serta ibu bapa harus memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan suasana seni dan kraf kreatif di rumah dan di sekolah. 
Sehubungan itu, KPM, Jabatan Pelajaran  serta PPD perlu terus bekerjasama menganjurkan kursus, seminar atau bengkel berkaitan perkembangan seni dan kreatif  untuk pendidik bagi memastikan prestasi  murid-murid berada pada tahap yang membanggakan.
Sesungguhnya, kreativiti kanak-kanak diperingkat ini melimpah ruah jika dijanakan semaksima yang mungkin. Kita perlukan Mcgyver buatan Malaysia yang intelligent, optimistic, resourceful, creative and innovative dan ini boleh bermula dari Bilik PSV.

making mistakes, and having fun.” 
- Mary Lou Cook

LINtasan HAti:
...beruzlah menjadikan kita lebih kreatif

No comments: